Saturday 30 March 2013

Subuh itu

Bismillahirrahmanirrahim.
Dalam waras, sayu hati aku bertinta.
Semoga Allah melimpahkan rahmat buat semua.

Ahad 24 Mac 2013.
Jam awal 5 pagi.
Aku dikejutkan oleh panggilan nenda.
Belum pernah dikejutkan begitu.
Segera ke bilik bertentangan,
Nenek menguak pintu,
Tokayah di katil, menahan sakit.

Tidak pasti apa berlaku,
Awal mlmnya elok sahaja,
Benar, nikmat itu dari Allah.
Bila-bila sahaja boleh ditariknya.

Tokayah pernah dikejarkan ke hospital,
2008. Aku hanya dimaklumkan sepulang dari hostel.
Sedih, setelah keluar dari hospital baru ku tahu.
Insan itu tidak mahu meresahkan sesiapa.
5 tahun berlalu sebelum nikmat sihat ditarik sekelip mata.

Sebak diri melihatnya.
Nenek meminta aku menelefon ibu saudara,
Serak tekak berkata-kata,
Bicaraku terlantun hanya yg mampu.

Azan subuh.
Usai solat, bacaan Yaasiin diperdengarkan,
Sebak, sungguh sebak, uraian air mata mengiringi kalimah suci.

tokayah n chek(nenek) at Langkawi akhir thn lepas(2012)

Tokayah,
Ibu ayah sedari kecil,
Dia yang menguruskan cucu ini sejak kecil.
Makan pakai, ilmu didikan dicurahkan padaku.

Tika itu,
Terlintas di benakku,
Mampukah aku?

Teringatkan kehilangan ibu,
Aku lemah, menangis sendiri.
Jika insan berjasa ini pergi,
Jiwaku bagai di rentap.

Sungguh.
Tika dia menahan sakit di kepala,
Mungkin itu yang teramat sakit,
Tika tubuhnya ku rangkul itulah,
Aku hiba. Hanya kalimah buat Tuhanku terucap.

Dalam kesakitan itu,
Tidak sesaatpun aku mendengar dia merungut.
Kumat kamit mulutnya memuji Tuhan yang Esa.
Hanya sesekali berbicara dengan anak cucu,
Memohon maaf dan dihalalkan semua padanya.



Guru agama, guru mengajiku.
Ilmu di dada tidak mahu aku bicarakan,
Cuma salut padanya yang melazimi pujian bt Tuhannya.
ya! Aku cinta dia kerna cintanya pada Tuhannya.

Insan kesayanganku,
Allah mengurniakan dia padaku,
Dihantarnya untuk menyayangi dan disayangi.

Insan setabah itu,
Tidak jemu memuji Tuhannya,
menerima musibah penuh redha,
Tidak hanya pasrah malah bertambah cinta.

Pemeriksaan di klinik di petang Ahad.
Abah dan ma (bapa/ibu saudara) tinggal di rumah.
Mami dan ayahlong (ibu/bapa saudara) dari Terengganu membawanya.
Darah, jantung semua okay, rahmat dari yang Maha Pengasih.

Kini hampir seminggu tidak keluar meniaga,
Masa nya dihabiskan di tempat rehat.
Berjalan perlu sokongan, bimbang rebah.
Lututnya bengkak, masalah urat barangkali.
Fizikal tampak semakin sihat,
namun runsing kiranya sakit mendatang tiba-tiba.

Ramai yang menziarahi,
Penduduk kampung, kaum kerabat,
Sahabat handai, adiknya.
Anak-anaknya dari Kuala Lumpur,
Tokabah (adik tokayah) dan keluarga,
Umie (ibu saudara), Che Alang(ibu saudara) dan keluarga.
Memandangkan cuti sekolah hampir berakhir,
semua pulang, termasuk Che su (ibu saudara) yg perlu ke asrama.

Detik ini,
Aku di kejauhan,
Meninggalkannya bersama nenek.
Hanya berdua sentiasa menemani,
Ayah Su (bapa saudara) di harap bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Dengan sakitnya yang makin pulih,
Aku kuatkan semangat melangkah ke sini.
Bukan untuk aku, untuk dia dan juga ummah.

Aku mencari ketabahan,
Semoga Allah meredhai.
Aku ingin melaksanakan hasrat hati itu.

Ya Rabb,
kami bersyukur atas nikmatMu,
dan kami mengaku dosa kami bukan secebis.
Oleh itu kami memohon hanya padaMu.

Jika umurnya panjang,
Murahkan rezekinya memijak ke Tanah Haram itu,
izinkan matanya menatap Kaabah yang indah itu,
redhakan dirinya beribadah memujiMu di situ.

Berkatilah akan dirinya,
kami insan lemah hanya mampu berharap.
Sujudku, matiku padaMu.


Dan aku yakin pasti akan janjiMu.
wallahualam.

tinta berharap,
CL.

No comments:

Post a Comment